NIBONG TEBAL, 16 Sept: Pengerusi DAP Bandar Nibong Tebal, Teoh Seang Hooi (gambar) menggesa polis menyiasat segera laporan yang dibuat oleh Ketua Pemuda DAP Nibong Tebal, Ong Hong Boon yang menerima empat ancaman bunuh menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Jelasnya, tindakan seumpama itu tidak wajar dibiarkan berlaku ekoran perbuatan tersebut seakan perkara biasa sejak kebelakangan ini."Pihak polis kena buat siasatan terperinci tentang ancaman bunuh yang diterima oleh Ong Hong Boon, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Nibong Tebal.
“Ancaman itu bukan sekali, bahkan empat kali," terangnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Ujarnya, Ong ketika menghubunginya pada hari Selasa, 14 September lepas telah menerima tiga SMS ancaman bunuh 'You mati malam ini' dan sekali lagi semasa dalam perjalanan bertemunya.
Ancam bunuh diterima buat pertama kalinya pada awal pagi hari Isnin, 13 September dan terus membuat laporan polis pada malam hari yang sama.
Teoh yang juga seorang pesara guru berpendapat, DAP tidak sekali-kali tunduk dengan ancaman berkenaan sebaliknya akan meneruskan khidmat bakti pada masyarakat tidak mengira bangsa dan agama.
"DAP sudah berpengalaman puluhan tahun dalam arena politik negara dan tidak sekali kali tunduk terhadap ancaman sebegini malahan mengambil ia sebagai dugaan yang harus diterima. Namun, apa pun pihak polis kena buat siasatan segera," katanya.
Setahunya, Ong merupakan ahli perniagaan yang baik tidak berhutang dengan mana-mana peminjam wang (ah Long), suami yang penyayang kepada keluarga serta sahabat perjuangan yang mempunyai semangat juang yang tinggi.
Sekiranya ada mana-mana individu yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan sama ada DAP atau JKKK, wajar tampil ke hadapan.
“Saya menawarkan diri sebagai orang tengah sekiranya ada individu yang tidak senang dengan kepimpinan Ong. Biar kita selesaikan dengan baik daripada membuat ancaman yang mengundang padah " jelasnya.
This news was taken from harakahdaily.net. Link.
No comments:
Post a Comment